Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 50,000 keahlian MHexplorer.

Katanya, kerjasama strategik itu juga akan memberi lebih banyak manfaat kepada MHexplorer iaitu program perjalanan untuk pelajar secara digital yang telah dilancarkan sejak Oktober 2018.

Jelas beliau, menerusi kerjasama itu, para pelajar akan menikmati diskaun lapan pe­ratus bagi hotel domestik dan 10 peratus hotel antarabangsa di bawah Brand Expedia.

“Ahli MHexplorer juga berpeluang mendapat penjimatan lapan peratus bagi pengangkutan Grab ke lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Ahli MHexplorer juga boleh berjimat RM120 apabila mereka mendaftar bagi pelan Hotlink Flex Plus yang menawarkan data 10GB dan panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had,” katanya pada majlis mengumumkan kerjasama di antara Malaysia Airlines de­ngan Brand Expedia, Grab dan Maxis di sini hari ini.

Pelan mudah alih itu pada asalnya berharga RM60 sebulan kini berharga hanya RM50 sebulan bagi tempoh 12 bulan.

MHexplorer menawarkan pelajar diskaun tambang perjalanan sehingga 20 peratus bagi tempoh sepanjang tahun dengan tambahan elaun bagasi 10 kilogram untuk semua kelas penerbangan, satu perubahan tarikh perjalanan secara percuma, promosi kawan istimewa serta keluarga selain faedah Enrich miles.

Penuntut berusia 18 hingga 26 tahun boleh mendaftar bagi program MHexplorer di www.malaysiaairlines.com/MHexplorer.

Ahli boleh menikmati manfaat yang ditawarkan menerusi MHexplorer ini sama ada perjalanan itu bagi tujuan santai atau untuk pendidikan mereka.

MHexplorer disediakan untuk semua perjalanan di bawah rangkaian Malaysia Airlines.

Habis.