Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pelaburan boleh dilakukan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun Satu dan akan dikenakan caj jualan serendah sifar hingga 0.5 peratus untuk setiap transaksi untuk ahli di bawah umur 55 tahun.

Katanya, KWSP sangat teruja untuk memperkenalkan i-Invest kerana kemudahan digital memberi kuasa kepada para ahli untuk mengawal pelaburan mereka serta kos transaksi hampir sifar.

“i-Invest berfungsi membantu ahli dalam mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan antara dana unit amanah, seterusnya membantu ahli memilih dana yang sesuai dengan sasaran pelaburan mereka.

“Ini merupakan suatu kebanggaan kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia yang menghasilkan pautan terus antara simpanan persaraan ahli dengan kemudahan pelaburan dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Tunku Alizakri, kemudahan i-Invest menyediakan fungsi yang fleksibel dan mudah untuk ahli membuat pelaburan, transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Menurutnya, ia juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD selain memantau pelaburan mereka melalui i-Akaun dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi pelaburan dan sebarang maklumat berkanun yang diperlukan.

“Ahli boleh memindahkan daripada Akaun Satu sehingga 30 peratus daripada jumlah melebihi simpanan asas mengikut umur masing-masing untuk dilaburkan dalam dana yang layak. Ahli juga boleh membuka akaun untuk membuat pelaburan di dalam dana unit amanah melalui mana-mana IPD menggunakan kemudahan i-Invest.

“Ahli berumur 55 tahun ke atas juga boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun tertakluk kepada mengekalkan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka. Sebanyak 389 dana daripada pelbagai kategori telah diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP Untuk tempoh 2019/2020,” katanya.

KWSP menyarankan ahli yang berminat untuk menggunakan i-Invest supaya mengambil langkah waspada dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dengan mendapatkan maklumat yang tepat atau pendapat perunding profesional sebelum membuat sebarang transaksi. - UTUSAN ONLINE