Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com APAC dan Asia Barat, Abhijeet Mukherjee berkata, walaupun 55 peratus daripada pekerja Malaysia menyatakan mereka mempunyai pengaturan kerja yang fleksibel dalam kapasiti tertentu, tetapi kebanyakannya mahukan keanjalan yang lebih tinggi.

Kata beliau, golongan wanita di negara ini turut mengakui mereka terlepas peluang kerjaya kerana keputusan untuk mempunyai anak selain berdepan cabaran berterusan di tempat kerja yang menyukarkan mereka maju secara profesional.

“Golongan lelaki rata-ratanya berpendapat ia adalah kerana kaum wanita berhasrat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga mereka.

“Hakikatnya, kebanyakan kaum wanita menyatakan mereka percaya ramai ibu meninggalkan pekerjaan kerana kekurangan fleksibiliti yang mencerminkan dasar semasa berkenaan waktu kerja fleksibel tidak memberi soko­ngan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mukherjee, kaum lelaki Malaysia juga sangat prihatin terhadap kesejahteraan keluarga yang mana mereka hanya kembali bekerja atas alasan kewangan, bimbang me­ngenai siapa yang akan menjaga anak-anak serta memikirkan bagaimana pilihan kerja yang fleksibel boleh dimanfaatkan.

Katanya, ibu dan bapa juga bimbang mengenai bagaimana mereka akan memanfaatkan pengaturan kerja yang fleksibel bagi mengimbangi waktu kerja dan di rumah secara berkesan.

“Oleh kerana kaum lelaki dan wanita menggalas tanggungjawab sebagai pencari nafkah, mereka juga berkongsi lebih banyak tanggungjawab sebagai ibu bapa. Lelaki hari ini tidak kurang memandang ringan terhadap tugas sebagai bapa dan cenderung untuk mempercayai bahawa keutamaan kerja boleh menjejaskan kehidupan mereka.

“Majikan mungkin menyatakan mereka menawarkan pengaturan untuk menyokong ibu bapa yang bekerja, tetapi tidak bermakna pekerja bebas untuk menggunakan dasar sesuka hati. Ibu bapa yang bekerja sangat memerlukan lebih banyak pilihan dan majikan perlu mendengar permintaan atau berkomunikasi dengan lebih baik,” ujarnya.

Tinjauan berkenaan dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen #SheMakesItWork yang meraikan dan menyokong para ibu dalam tenaga kerja atau yang kembali bekerja selepas mempunyai anak.