Ketua Pakar Ekonomi bagi Malaysia, Richard Record berkata, penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan walaupun berkembang pada kadar lebih sederhana.

“Perbelanjaan isi rumah akan didorong persekitaran pasaran tenaga kerja yang stabil dan langkah sokongan pendapatan seperti Bantuan Sara Hidup,” katanya kepada pemberita di taklimat mengenai perkembangan terkini ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) di sini hari ini.

Beliau berkata, pembentukan modal tetap kasar dijangka meningkat dipacu sektor swasta manakala pelaburan awam diunjurkan kekal suram dalam jangka pendek.

“Sektor luaran mungkin mengalami kesan negatif berikutan peningkatan ketidaktentuan yang menyelubungi persekitaran global khususnya ketika ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang tidak mustahil akan memuncak,” katanya.

Record berkata, kemiskinan kewangan dijangka terus mencatatkan aliran menurun pada 2019 dengan jangkaan penyusutan 1.4 peratus berdasarkan paras kemiskinan di negara berpendapatan pertengahan (UMIC) pada AS$5.50 (RM22.71) setiap orang setiap hari pada 2011.

“Beberapa inisiatif untuk isi rumah berpendapatan rendah termasuk Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 iaitu skim insurans bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di samping perumahan mampu milik yang sedang dibangunkan demi menambah baik kesejahteraan kewangan dan bukan kewangan,” katanya.

Melangkah ke 2020, beliau berkata, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada 4.6 peratus dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2024.

Beliau berkata, defisit fiskal Malaysia mungkin mengecil kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019 dan mencecah 3.0 peratus pada 2020.

“Pengukuhan fiskal jangka pendek diunjurkan dapat dicapai terutama menerusi langkah rasionalisasi perbelanjaan yang ketat dengan komponen utama perbelanjaan mengurus dan pembangunan akan mencatatkan penurunan secara meluas (dalam peratusan KDNK),” katanya.

Dari segi risiko dan cabaran, Record berkata, ketidaktentuan berterusan yang menyelubungi krisis perdagangan AS-China serta perubahan sentimen pasaran kewangan global akan memberi risiko negatif kepada ekonomi Malaysia dalam jangka terdekat disebabkan tahap perdagangan dan penyepaduan kewangan Malaysia yang tinggi.

“Berkaitan perkembangan di peringkat domestik, paras liabiliti kerajaan yang agak tinggi dan peningkatan pergantungan kepada hasil berkaitan minyak berpotensi mengehadkan keanjalan pelarasan fiskal terhadap kejutan makroekonomi pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata dalam sektor swasta, hutang isi rumah yang agak tinggi kekal sebagai sumber risiko kestabilan kewangan makro dan akan bertindak sebagai pengekang perbelanjaan isi rumah.

Record berkata cabaran utama kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan inklusif terletak pada peningkatan produktiviti buruh, yang seterusnya bergantung kepada pembangunan modal insan yang lebih kukuh.

“Skor Malaysia bagi Indeks Modal Insan (HCI) adalah 0.62, kira-kira seperti yang dijangkakan berbanding UMIC lain namun lebih rendah daripada sasaran,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mencatatkan prestasi baik dalam komponen kemandirian kanak-kanak dan tempoh persekolahan dalam HCI tetapi merekodkan prestasi kurang baik dari segi nutrisi kanak-kanak dan kualiti pendidikan berbanding negara yang mempunyai ekonomi yang setara.

“Keutamaan penting adalah meningkatkan hasil pembelajaran, menurunkan jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi dan mengukuhkan sistem perlindungan sosial bagi membolehkan isi rumah melabur dan melindungi modal insan,” katanya. - BERNAMA