Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, maklumat yang digunakan beberapa portal dalam talian mengenai butiran penyelenggaraan Pe­ro­dua adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menurut beliau, laporan yang diterbitkan pada 11 Mac lalu menunjukkan perbezaan kos penyelenggaraan antara Persona dengan dua model kereta lain yang dikatakan sebagai Perodua Bezza dan Honda City.

“Perbandingan yang dilakukan tidak setaraf yang mana kos penyelenggaraan Persona dikira seperti yang dijadualkan dalam buku servis atau ma­nual pemilik manakala Bezza berdasarkan pengiraan kos penyelenggaraan pencegahan (pilihan) dan bukan mengikut jadual seperti buku servis.

“Perbezaan kos penyelenggaraan Bezza pada tahun kelima hanya RM44 atau 1.4 peratus dan bukannya 32 pera­tus seperti yang dilaporkan. Perbezaan ini disebabkan kos premium pelincir gred 0W-20 untuk Bezza dibandingkan dengan 10W-30 untuk Persona,” katanya dalam kenya­taan di sini baru-baru ini.

Tambah Zahari, pemilik Bezza membayar RM239.55 lebih rendah berbanding pemilik Persona untuk kos penyelenggaraan pada akhir tahun ketiga.

Katanya, Bezza merupakan antara model yang mempunyai kecekapan bahan api terbaik di negara ini dan diperakui kerajaan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Bezza 1.0 Manual dan automatik masing-masing berpotensi untuk bergerak sejauh 22.8 kilome­ter/ liter (km/l) dan 21.3 km/l. Bagi varian 1.3L manual dan automatik ia mampu bergerak sejauh 21.7 km/l dan 21 km/l.

“Untuk 1.3 Bezza Advance automatik yang dilengkapi dengan Eco Idle, ekonomi bahan api adalah pada 22 km/l dalam mod ECE. Faktor-faktor ini memberikan penjimatan besar terhadap kos keseluruhan Bezza manakala maklumat kecekapan bahan bakar kereta pesaing tidak diberitahu kepada umum,” jelasnya.

Zahari berkata, pihaknya mengambil berat tentang pendekatan laporan daripada jenama tertentu dan menasihatkan orang ramai supaya menye­mak dahulu kandungan berita de­ngan merujuk kepada sumber yang sahih.