Pengerusi Dewan Muda Pusat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Mohd. Ali Amin Ab. Latif berkata, lebih daripada 30 peratus pemaju untuk projek PR1MA adalah bumiputera dan mereka telah mengeluarkan banyak modal bagi melaksanakan projek berkenaan.

Menurut beliau, yang paling terkesan adalah mereka yang mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank kerana telah melabur ratusan juta ringgit antaranya untuk tanah, bayaran konsultan dan pembekal.

“Setelah hampir setahun projek masih tidak dimulakan, tetapi pada masa sama mereka perlu membayar kos overhead, gaji pekerja serta pelbagai per­belanjaan syarikat. Mereka juga telah berjumpa dengan pihak PR1MA untuk menyelesaikan perkara ini, tetapi menemui ­jalan buntu.

“Ketiadaan hala tuju ini um­pama gantung tidak bertali kepada pemaju bumiputera. Oleh itu, DPMM menggesa pihak PR1MA memberi penjelasan apakah hala tuju projek ini dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi kemelut berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai nasib pemaju bumiputera PR1MA di sini hari ini.

PR1MA ditubuhkan bagi membina rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana di seluruh negara. Selain itu, kewujudan ­PR1MA juga bertujuan ­mengangkat kedudukan kontraktor Melayu ke tahap pemaju.

Pada 8 Mei lalu, PR1MA dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang melaksanakan langkah transformasi untuk memastikan agensi perumahan itu kekal selari dengan matlamat agenda perumahan nasional, sekali gus menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran.

Menurut Pemangku ­Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazri Md Shariff, usaha berkenaan kini berjalan lancar dan transformasi perniagaan adalah sebahagian daripada strateginya.

Sebelum itu, Pe­nge­rusinya, Tan Sri Eddie Chen dilaporkan berkata, program perumahan itu kemungkinan dibubarkan tetapi bergantung kepada proses usaha wajar dan pelan transformasi.

Jelas Mohd. Ali Amin, antara agenda PR1MA adalah membangunkan pemaju dan kontraktor bumiputera serta rantaian bekalan yang terlibat dengan projek tersebut.

Bagaimanapun, katanya, si­tuasi itu berubah seolah-olah seperti hendak membunuh pemaju dan kontraktor bumiputera.

“Ramai yang mengalami kerugian, malah ada beberapa kes bayaran pun masih belum terima. Reputasi pemaju turut tercalar ditambah pula masalah kewangan yang semakin me­runcing seperti kesukaran mendapatkan pinjaman dan aliran tunai yang teruk.

“DPMM bersedia menjadi perantara antara pemaju-pemaju bumiputera dengan kerajaan atau pihak PR1MA. Kami sedia buka pintu rundingan kerana kemelut ini boleh mendatangkan masalah yang lebih besar,” jelasnya.