Naib Presiden Eksekutif HSS Engineers Bhd., Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, dengan kekurangan bekalan air, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah mengumumkan rancangan untuk menangani isu itu.

Katanya, antara inisiatif yang dijalankan adalah Projek Grid Air Sarawak, yang mana kerajaan negeri sedang berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan bekalan air, terutamanya kawasan luar bandar.

“Dengan keprihatinan yang semakin meningkat terhadap bekalan air di negara ini, pelan yang diperlukan kini dilaksanakan oleh pelbagai pihak berkuasa seperti Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan pelbagai kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air mampan dan berterusan.

“Sebagai pemain utama dalam industri air selama lebih dari 55 tahun, HEB Group, melalui anak syarikat kami, SMHB Engineering berada di kedudukan yang baik untuk mengambil peluang menyertai projek-projek tersebut apabila ia diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sittampalam kumpulan kini mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai tender pengurangan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di pelbagai negeri di Malaysia dan berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan perkhidmatan keseluruhan rantaian nilai dalam sektor air yang terlibat dalam perancangan sumber air negara untuk lebih dari 50 tahun.

Katanya, kumpulan turut menawarkan lebih banyak projek di sektor lain seperti pengangkutan dan infrastruktur untuk menambah nilai buku pesanannya.

“Di samping itu, kami sedang mencari peluang dalam bidang infrastruktur yang terdapat di rantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia dan Filipina serta India melalui kerjasama dengan perunding antarabangsa dan tempatan mereka untuk meningkatkan kehadiran kami dalam projek melibatkan lebuh raya, kereta api, pelabuhan, lapangan terbang dan sumber air.

“Kami optimistik memperluaskan jejak serantau kami dalam masa terdekat dengan berjaya menyampaikan tiga projek di Indonesia baru-baru ini,” katanya.

Kumpulan juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan aliran hasilnya dengan membina kontrak berasaskan pendapatan berulang dan jangka panjang. - UTUSAN ONLINE