Ketua Negara OYO Hotels & Homes Malaysia, Tan Ming Luk berkata,laporan itu juga mendapati tempahan menerusi aplikasi adalah 84 peratus lebih tinggi berbanding menggunakan komputer sekali gus menjadikan aplikasi mudah alih sebagai platform tempahan pilihan.

Katanya, kepelbagaian tarikan bandar di Malaysia menjadi daya penarik pelanggan dengan Kuala Lumpur mencatatkan 65.33 peratus tempahan oleh pelanggan berpasangan, tetamu bujang (25.62 peratus) dan keluarga (9.05 peratus).

“Masyarakat hari ini khususnya pasangan dan golo­ngan bujang mempunyai kebebasan dan fleksibiliti untuk mengembara merupakan aspek penting kehidupan yang seimbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ming Luk, OYO memahami keperluan penginapan pada harga berpatutan, tetapi masih berkualiti memberi keyakinan pengguna.

Menurutnya, pihaknya sentiasa berusaha menyediakan pengalaman kemudahan yang selesa dan mudah pada harga mampu milik di seluruh negara.

“Rangkaian hartanah OYO merangkumi hotel, rumah sehingga ke resort bagi memastikan kami mewujudkan ruang kehidupan berkualiti kepada semua,” ujarnya.

Indeks Musim Panas OYO juga mendedahkan tingkah laku pengguna dan trend pasaran antarabangsa. Goa, Jakarta dan Kathmandu masing-ma­sing menunjukkan tempahan maksimum di India, Indonesia dan Nepal.

OYO merupakan rangkaian hotel keenam terbesar dunia dengan operasi dari Tokyo, Jepun hingga ke Texas, Amerika Syarikat. Pengambilalihan @Leisure Group baru-baru ini menjadikan OYO kini berada di 800 bandar di 24 negara.

Rangkaian tersebut memiliki lebih 18,000 bangunan dan 636,000 unit serta 40,000 kediaman percutian di bawah pengurusannya.