Pengasasnya, Simon Suresh berkata, ini merupakan kali pertama e-pasaran menjelajah ke luar UK kerana produk-produk dengan pensijilan halal Malaysia mempunyai permintaan yang tinggi.

“Di Malaysia, kita bersyukur mempunyai tahap pensijilan halal tertinggi dan dapat menikmati makanan halal berkualiti tinggi tanpa mengira sama ada Muslim atau bukan muslim. Namun, ada kalanya kita mengambil mudah apabila berada di UK yang mana anda akan dapati agak sukar untuk membeli makanan halal seperti gula-gula mahupun vitamin.

“Oleh itu, saya berpendapat telah tiba masanya PKS Malaysia meneroka UK menerusi e-pasaran ini jadi pengguna juga boleh menikmati kualiti produk halal yang sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Simon berkata, Halal Street UK bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi program eTRADE bagi membantu lebih banyak PKS Malaysia meneroka ke pasaran UK dan pasaran sekitarnya.

“Kerjasama dengan Matrade ini akan membolehkan PKS layak menerima bantuan eTRADE seperti kemudahan kewangan apabila mereka mengambil bahagian dalam Halal Street UK.

“PKS yang berkelayakan akan mudah mempunyai akses kepada lebih 44 juta pendudukan muslim di pasaran Eropah dan lebih 15,000 pelanggan sedia ada di platform itu. Di UK sahaja pasaran makanan halal bernilai 770 juta pound British (RM3.89 bilion),” kata Simon yang juga merupakan seorang peguam yang menetap di UK. - BERNAMA