RHB Research berkata risiko penurunan itu dijangka berterusan sehingga 2020 akibat ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China baru-baru ini.

Menurutnya, AS dijangka tidak akan menarik kembali keputusannya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas sebahagian import AS$300 bilion (RM1.25 trilion) dari China berkuat kuasa 1 September

“Sebahagian lagi dijangka bermula 15 Disember dan China berhasrat untuk memberi tindak balas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengambil kira sentimen berhati-hati dan risiko penurunan daripada perang perdagangan yang semakin membimbangkan itu, RHB Research berkata satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dijangka menjadi langkah awal untuk menyokong pertumbuhan.

“Ini mungkin berlaku pada akhir suku keempat 2019 atau suku pertama 2020. BNM dijangka menunggu tinjauan FTSE Russell pada September sebelum membuat langkah selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research menjangka asas yang kukuh terhadap pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2019 adalah tidak lama dan akan mencatat pertumbuhan sederhana pada suku selanjutnya akibat risiko yang semakin meningkat.

“Dengan kemajuan perdagangan yang tidak menentu, ketidaktentuan global dan turun naik pasaran kewangan dalam tempoh terdekat yang semakin meningkat, ia berpotensi menyebabkan penangguhan dalam keputusan pelaburan di peringkat global.

“Faktor-faktor luaran ini akan mempengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia, sebahagiannya dimbangi okleh aktiviti dalam negara seperti penyambungan semula projek infrastruktur mega yang akan memberikan limpahan kepada aktiviti sektor swasta,” katanya.

Kenanga Research menyemak unjuran pertumbuhan suku ketiga 2019 kepada 4.4 peratus daripada 4.2 peratus sebelum ini dan menyemak semula pertumbuhan suku keempat 2019 kepada 4.0 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini, sambil mengekalkan unjuran keseluruhan tahunannya pada 4.5 peratus. - BERNAMA