FGV dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, penamatan itu tidak memberi sebarang kesan kewangan terhadap syarikat dan subsidiarinya.

“Tiada Pengarah atau peme­gang saham majoriti FGV atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepenti­ngan sama secara langsung atau tidak langsung dengan MoU berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Pada Disember 2018, FGV menandatangani MoU dengan CMEC untuk meneroka kemungkinan usaha sama bagi membangunkan kemudahan pengeluaran kertas pulpa.

MoU itu antara strategi kumpulan untuk memberi fokus kepada aktiviti hiliran susulan keadaan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tidak menentu.

FGV berharap dapat meneroka peluang untuk mengintegrasikan operasi kilang dengan kepakaran kejuruteraan CMEC bagi membangunkan kemudahan pengeluaran kertas pulpa dengan kapasiti sebanyak 50,000 tan metrik setahun (Fasa 1).

Perniagaan utama CMEC adalah dalam bidang kontrak kejuruteraan, pakar dalam pembinaan projek jana kuasa dan turut merangkumi perdaga­ngan, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan antarabangsa.

CMEC juga bekerjasama de­ngan institut penyelidikan di Hangzhou dan Guangxi, menggunakan teknologi untuk menukar tandan buah kosong kepada kertas pulpa bagi dikomersialkan.

Ketika ini CMEC disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange.