Saham HSS Engineers Bhd. yang telah menerima pakej kerja ECRL sebelum ini turun 20 sen kepada RM1.19 sesaham manakala Lafarge Malaysia Bhd. pula naik 20 sen kepada RM2.48 sesaham.

Bagi saham syarikat pembinaan lain yang dijangka terlibat dalam projek berkenaan seperti IJM Corp. dan Sunway Construction turut mencatatkan penurunan sebanyak 30 sen dan 80 sen dan ditutup pada RM2.27 sesaham dan RM1.93 sesaham masing-masing.

Jabatan Perdana Menteri hari ini mengambil keputusan meneruskan projek ECRL dengan kos pembinaan fasa satu dan dua ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) de­ngan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC).

SA itu merangkumi perjanjian bagi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ECRL.

“Kerajaan mengalu-alukan perjanjian itu yang membuka semula ruang kepada projek ECRL untuk terus dijalankan selepas rundingan selama beberapa bulan antara Malaysia dan China.

“Pengurangan kos itu pas­tinya akan memberi manfaat kepada rakyat dan mengurangkan bebanan dalam kedudukan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Am­Investment Research, ke­pu­tusan kerajaan meneruskan semula projek ECRL dilihat sebagai positif bagi kedua-dua sektor pembinaan dan bahan pembinaan, akan tetapi ia tidak bersifat game-changer kepada industri yang terlibat.

Katanya, permintaan tambahan untuk simen dan bar keluli hanya berjumlah satu hingga dua peratus daripada penggunaan tahunan simen dan bar keluli pada masa ini.

“Selain itu, memandangkan komitmen kuat kerajaan terhadap kedudukan fiskal, kami bimbang ia akan menjadi zero sum game kerana kos untuk meneruskan projek ECRL ini masih besar dan ia boleh menghalang keupayaan kerajaan untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur lain dalam tempoh empat hingga lima tahun,” katanya dalam laporannya di sini hari ini.

Projek ECRL digantung pada Julai 2018.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 26 Januari mengumumkan kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC.

Kos ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.