Pada penutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.64 mata atau 10.57 mata kepada 1,638.01 berbanding 1,627.44 ketika ditutup Selasa.

Indeks dibuka 6.26 mata lebih tinggi kepada 1,633.70 dan turut berlegar antara 1,633.70 dan 1,640.96 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi daripada 598 kepada 328, manakala 422 kaunter lagi tidak berubah, 568 tidak diniagakan dan 31 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.38 bilion bernilai RM2.84 bilion berbanding 3.73 bilion bernilai RM2.47 bilion ketika ditutup Selasa.

MISC meningkat 2.58 peratus atau 17 sen kepada RM6.76 dengan 1.57 juta saham bertukar tangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Yee Yang Chien berkata, syarikat itu menjangkakan memperoleh lebih banyak projek tahun ini berasaskan keupayaan syarikat melaksanakan kontrak baharu bernilai antara AS$2 bilion (RM8.26 bilion) dan AS$3 bilion (RM12.38 bilion) berbanding projek AS$1 bilion (RM4.13 bilion) yang diraih pada 2018.

Sehingga suku pertama bagi 2019, syarikat perkapalan itu membida projek bernilai AS$6 bilion (RM24.77 bilion) berbanding nilai bidaan yang sama bagi keseluruhan tahun lepas.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr. Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, pergerakan FBM KLCI adalah konsisten dengan penambahbaikan keseluruhan terhadap ekonomi global.

Beliau berkata, saham Amerika Syarikat kembali meningkat minggu ini berikutan pelabur berjaya mencatatkan pulangan dalam tempoh empat bulan meskipun ketidaktentuan terhadap unjuran ekonomi global yang berterusan.

“Di peringkat tempatan, meskipun berlaku pembetulan teknikal baru-baru ini, kami menyaksikan pasaran kewangan terus berdaya tahan dengan kecairan domestik yang disumbangkan oleh projek infrastruktur yang disambung semula,” katanya kepada Bernama.

Daripada perspektif teknikal, Nazri Khan berkata, peningkatan di bursa tempatan menunjukkan potensinya kembali pulih selepas pembetulan baru-baru ini memberikan rangsangan kukuh.

“Kami menetapkan paras sokongan segera sekitar 1,600 mata. Sebaliknya, paras rintangan mencatat 1,658 mata dan 1,700 mata,” katanya. - BERNAMA