Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.63 mata kepada 1,622.36 berbanding 1,619.73 semasa ditutup pada Selasa.

Ia dibuka 0.91 mata lebih tinggi pada 1,620.64 dan turun naik antara 1,618.69 dan 1,625.22 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 435 berbanding 220, manakala 385 kaunter tidak berubah, 868 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM750.74 juta.

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata walaupun FBM KLCI berjaya mengecilkan kerugian semalam, pasaran pada umumnya diunjurkan kekal suram berikutan sentimen masih terkawal, terjejas oleh penyusutan terbaru dialami asas negara dengan bon kerajaan berdepan risiko dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia.

“Namun, kami berpendapat FBM KLCI akan cuba mendapatkan sokongan pada paras sekitar 1,620 yang juga merupakan paras terendah dalam tempoh tiga tahun.

“Meskipun masih terdapat beberapa aspek positif, kami melihat sokongan daripada aktiviti belian semasa harga rendah adalah pada tahap sederhana berikutan belian baharu masih kurang memberangsangkan dengan kebanyakan pemain pasaran mengambil pendekatan berhati-hati.

Belian semasa harga rendah akan membolehkan indeks utama kebanyakannya kekal sama untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada aliran meningkat secara sederhana,” katanya dalam nota hari ini. - BERNAMA