Bagaimana untuk menjadi negara yang gembira? Negara yang bahagia mengikut laporan itu, menunjukkan sejauh mana rakyatnya hidup gembira dengan fokus kepada perkembangan teknologi, norma sosial, konflik dan dasar-dasar kerajaan yang mendorong kepada perubahan tersebut.

Kita semua mahu rasa gembira, walaupun kebahagiaan itu adalah sesuatu yang sangat subjektif.

Tetapi pasaran yang tidak gembira, pastinya bukan sesuatu yang membahagiakan walaupun rata-rata penganalisis melihat ia adalah bersifat jangka pendek. Cuma, ia akan memberi impak negatif sekiranya keadaan ini berlarutan untuk satu tempoh yang panjang.

Bagi pelabur baharu, mereka mungkin melihat ini masa terbaik untuk membuat pembe­lian saham-saham murah te­ta­pi pembeli sedia ada akan ter­perang­kap dalam situasi ini pada tempoh tertentu.

Pasaran terburuk

Awal minggu ini, laporan yang dikeluarkan Bloomberg menunjukkan pelabur asing hilang keyakinan kepada pasaran saham Malaysia hingga FBM KLCI susut 14 peratus daripada rekod pada Mei 2018 dan merupakan pasaran utama paling teruk di dunia setakat ini, yang mengalami penurunan sebanyak 3.5 peratus. Ia juga dijangka berlarutan sehingga 2020.

Keadaan itu turut menyaksikan pasaran modal Malaysia kehilangan RM157 bilion sejak Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu. Menurut Bloomberg, pasaran saham Malaysia semakin pudar hampir setahun selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meraih kemenangan mengejutkan, memandangkan pentadbiran baharu kerajaan bergelut dengan tanggungan hutang yang tinggi daripada kerajaan sebelumnya.

Hutang rasmi kerajaan me­nu­rut Bank Negara Malaysia (BNM) adalah RM741.1 bilion pada 2018 bersamaan dengan 51.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia adalah peningkatan berbanding RM686.8 bilion atau 50.7 peratus daripada KDNK pada 2017.

Morgan Stanley dalam laporannya semalam menunjukkan Malaysia boleh kehilangan hampir AS$8 bilion (RM33.10 bilion) jika FTSE Russell menggugurkan hutang Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Global (WGBI) berikutan kebimbangan mengenai kecairan pasaran, sekali gus menjejaskan prestasi mata wang tempatan dan pasaran bon.

FTE Russell meletakkan Malaysia dalam pemerhatian selama enam bulan dengan satu lagi semakan pada September ini.

Susulan itu, Bursa Malaysia pada Rabu ditutup 1,620.90 mata, paras terendah sejak Di­sem­ber 2016 manakala ringgit pula, muncul mata wang yang mencatat prestasi terburuk di rantau ini pada bulan ini.

Petang ini, pasaran tempatan terus susut 1.17 mata kepada 1,619.73 mata. Bagi ringgit pula, susut kepada RM4.1450 berbanding dolar AS. Bloomberg melaporkan ringgit kemungkinan berdepan tekanan lebih bu­ruk selepas melepasi paras so­kongan apabila ia bergerak menuju ke paras terendah bulan ini berbanding sejak awal 2018.

Kenapa?

Kenanga Research dalam no­ta kajiannya menjelaskan, WGBI terdiri daripada hutang kerajaan merangkumi 23 buah negara, dengan hanya empat sahaja negara dari rantau Asia Pasifik iaitu Jepun, Australia, Singapura dan Malaysia sejak 2004.

Untuk berada dalam senarai itu, ia memerlukan beberapa kriteria termasuklah minimum penarafan kredit A- oleh S&P dan A3 oleh Moody’s serta Tahap Kebolehcapaian Pasaran (MAL) pada tahap 2 (tertinggi : 2, terendah : 0).

Dalam kenyataan rasmi FTE Russell menunjukkan Malaysia dinilai untuk penurunan bagi MAL daripada tahap 2 kepada 1. Pada masa sama, ia juga menilai untuk menaik taraf hutang kerajaan China kepada tahap 2 daripada tahap 1.

Kegagalan untuk mencapai sepenuhnya pematuhan ke­bo­lehcapaian pasaran iaitu pa­saran, makroekonomi dan persekitaran kawal selia, struktur pasaran tukaran asing, struktur pasaran bon dan Glo­bal Settlement and Custody akan menyebabkan Malaysia terkeluar senarai WGBI pada kitaran berikutnya.

Berdasarkan anggaran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) daripada AS$2 trilion aset WGBI di bawah pengurusan dan wajaran Malaysia sebanyak 0.39 peratus, anggaran jumlah dana yang berisiko adalah AS$7.8 bilion, bersamaan dengan 8.3 peratus daripada jumlah MGS terkumpul dan 21.4 peratus daripada jumlah wang asing pegangan MGS.

Susulan itu, Kenanga Research berharap kerajaan akan mela­kukan sesuatu dari segi penga­walseliaan dan kebijaksana­an dasar-dasar berkaitan bagi memastikan bon Malaysia kekal berada dalam WGBI dan berharap ia memberi isyarat positif kepada pasaran global dari segi kualiti ins­trumen hutang.

Kesan jangka panjang

Gesaan supaya kerajaan lebih jelas dalam dasar-dasarnya sebenarnya amat penting. Jika perkara ini lambat diatasi, kemungkinan pasaran saham akan terus merudum. Apatah lagi dalam tempoh tiga minggu lagi, PH akan me­raikan ulang tahunnya yang pertama sebagai kerajaan.

Dalam hal ini, keadaan yang berterusan pasti­nya tidak baik kepada per­tumbuhan ekonomi Malaysia. Apabila pelabur hilang keyakinan, syarikat-syarikat akan hilang pelaburan.

Bagi syarikat yang hilang pelaburan, akan menyukarkan mereka mengembangkan perniagaan dan meneroka pasaran baharu. Malah, lebih buruk, jika syarikat itu terpaksa membuang atau mengurangkan tenaga kerjanya bagi mengurangkan kos operasi syarikat.

Sudah tentu, ia bukan sesuatu yang baik kepada rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup tinggi. Ini juga belum nampak jalan penyelesaian walaupun kerajaan telah berikrar untuk menangani isu ini di dalam manifesto pilihan raya.

Pada pertengahan Mac lalu, Bloomberg turut mengeluarkan laporan mengenai Malaysia, satu-satunya pasaran yang mencatat penurunan di rantau Asia, setelah indeks FBM KLCI susut lebih satu peratus tahun ini manakala negara jiran Si­ngapura, melonjak lima peratus dan Indonesia pula menokok tiga peratus.

Dalam usaha menarik pela­bur, kerajaan berikrar untuk me­nangani rasuah, mengurangkan bajet defisit dan meningkatkan kuasa beli. Namun, adakah ini sudah cukup membahagiakan?