Pembelian ekuiti Splash itu adalah daripada Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (Splash Holdings).

Gamuda Berhad (Gamuda) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) memaklumkan perkara itu menerusi Bursa Malaysia hari ini.

Gamuda dan KPS masing-masing memegang 40 peratus dan 30 peratus kepenti­ngan dalam Splash Holdings manakala bakinya dimiliki oleh Sweet Water SPV Sdn. Bhd.

Bayaran pendahuluan

Menurut Gamuda dan KPS, Splash Holdings pada 24 April 2019 telah menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM1.90 bilion daripada Air Selangor.

“Oleh itu, Splash tidak lagi menjadi anak syarikat Splash Holdings berkuat kuasa 24 April,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, laporan be­rita yang memetik makluman Gamuda dan KPS kepada Bursa Malaysia mengatakan bahawa Air Selangor bercadang untuk membeli 100 peratus ekuiti Splash daripada Splash Holdings dengan nilai RM2.55 bilion.

Air Selangor dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor.

Pengambilalihan

Pada Ogos 2018, Gamuda muncul antara syarikat paling terjejas disebabkan beberapa keputusan kerajaan termasuk yang melibatkan pengambilalihan Splash oleh Air Se­langor.

Ketika itu, saham Gamuda susut 4.12 pe­ratus atau 16 sen kepada RM3.72 manakala Kumpulan Perangsang Sela­ngor Bhd. (KPS) susut 5.79 peratus atau 11 sen kepada RM1.79 sekali gus muncul antara kaunter paling rugi selepas sesi dagangan ditutup petang.

Pada 28 September 2018, Bernama melaporkan Splash Holdings memasuki perjanjian bersyarat untuk menjual Splash kepada Air Selangor.

Untung bersih Gamuda susut 23 peratus kepada RM173.14 juta pada suku ke­dua berakhir 31 Januari 2019 berbanding RM223.64 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Penyusutan itu disebabkan Gamuda tidak mengiktiraf keuntungan bersama daripada Splash susulan penjualan syarikat itu pada 2018.

Petang ini, saham Gamuda naik 1.79 peratus kepada RM3.42 sesaham manakala saham KPS menokok 2.63 peratus kepada RM1.56 sesaham.