Penganalisisnya, Mohsin Aziz berkata, kemerosotan perolehan itu disebabkan musim sukuan yang lemah di tengah-tengah persekitaran pulangan yang rendah.

Menurut beliau, ia akan menjadikan kerugian bersih terkumpul pengendali penerbangan tambang rendah jarak jauh itu sebanyak RM135 juta pada separuh pertama tahun ini.

"Kami menjangkakan prospek kerugian lebih besar pada suku kedua tahun ini kerana musim yang lemah selain persekitaran keuntungan tidak menggalakkan.

"Prospek masa depan juga lemah susulan pengenalan levi pelepasan bermula 1 September ini di samping berkemungkinan kurangnya bayaran balik caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang menyebabkan kekurangan tunai dalam kunci kira-kira dan meningkatkan jumlah hutang daripada yang dijangka," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Tambah Mohsin, faktor muatan suku kedua merosot kepada 80.2 peratus tahun ke tahun di sebalik penurunan kapasiti sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun.

Katanya, keadaan itu menunjukkan permintaan pasaran masih lagi lemah dan hasil berkemungkinan akan terus negatif.

"Hasil berkurangan sebanyak dua peratus tahun ke tahun pada suku pertama dan kami fikir keadaan itu akan berterusan pada suku kedua.

"Berdasarkan parameter ini, kami menjangkakan kerugian teras bersih suku kedua sebanyak RM105 juta," jelasnya.

Sementara itu, Mohsin berkata, risiko ekuiti yang boleh dibeli balik pada harga tertentu AAX tidak boleh dihiraukan kerana syarikat itu mempunyai kapasiti pinjaman yang terhad dalam kunci kira-kira. - UTUSAN ONLINE