Pengiktirafan itu berdasarkan kepada jumlah pasangan terbanyak dalam majlis meraikan mereka serentak setelah dinikahkan semalam dan hari ini di seluruh negeri.

Sijil pengiktirafan rekod berkenaan disampaikan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam majlis resepsi di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud serta  Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Terdahulu, kesemua pasangan diarak masuk ke dewan beramai-ramai setelah tiba dengan tram, bot, malah ada yang berpeluang mengabadikan kenangan dengan menaiki helikopter.

Mereka terdiri daripada 34 pasangan dari daerah ini diikuti Besut (24 pasangan), Setiu (25 pasangan), Kemaman (42 pasangan), Dungun 48 pasangan), Hulu Terengganu (23 pasangan), Marang (39 pasangan) dan Kuala Nerus (36 pasangan).

Program ini antara lain bagi membantu serta memudahkan pasangan di negeri ini mendirikan rumah tangga memandangkan bebanan kos meraikan perkahwinan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, program Perkahwinan Perdana 2017 kini memasuki siri kedua selepas kejayaan penganjuran pertama pada tahun lalu yang melibatkan 217 pasangan dari seluruh negeri.

Katanya, program itu merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk keluarga generasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bertepatan dengan prinsip ketiga, keluarga bahagia rakyat sejahtera.

"Alhamdulillah bilangan pengantin bertambah dan saya yakin jumlahnya akan terus meningkat saban tahun. Ini menunjukkan kesunggguhan kerajaan negeri bagi memastikan agenda memperkasakan keluarga dalam prinsip TTB dapat dimanfaatkan seluruh rakyat." katanya.-UTUSAN ONLINE