Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada kalangan pengusaha perniagaan berkenaan untuk menghabiskan baki bekalan barangan jualan masing-masing.

Katanya, cadangan tersebut akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco Kerajaan negeri esok sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

"Larangan menjaja tetap ada cuma operasi PBT tidak akan dimulakan lagi dalam masa terdekat kerana kita mungkin akan memberi tempoh sama ada sehingga akhir Ogos atau sebulan lagi.

"Saya tidak boleh nak tetapkan tempoh masa yang spesifik kerana perkara ini melibatkan PBT serta agensi-agensi lain di bawah jawatankuasa saya," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pertemuan dengan penjaja lampu isyarat di Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di sini hari ini.

Baru-baru ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti perniagaan jalanan yang lazimnya tertumpu di persimpangan-persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri ini.

Ini bermakna, mereka terutama golongan remaja yang menjaja jeruk mempelam di dalam balang serta bebola daging di persimpangan lampu isyarat di setiap daerah di negeri ini kecuali Setiu, perlu menghentikan kegiatan itu berkuatkuasa serta-merta.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nurkhuzaini memberi jaminan kerajaan negeri menerusi jawatankuasa sementara yang dianggotai YPU, Polis Diraja Malaysia (PDRM), beberapa PBT dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) akan mencari penyelesaian terbaik buat kalangan 12 pengusaha makanan dan lebih 100 penjaja jalanan yang hilang punca pendapatan itu.

Sementara itu, seorang pengusaha bebola daging, Fahmi Reza A. Razak, 38, berkata, mereka sedia maklum dan patuh kepada larangan menjaja yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Kita akan cuba cari alternatif lain sebagai kaedah jualan, bagaimanapun masih akan meneruskan dengan perniagaan bukan sahaja untuk mencari rezeki buat diri sendiri tetapi kita mahu buka peluang pekerjaan kepada anak negeri lain," katanya. - UTUSAN ONLINE