Dalam pertandingan sempena program Jom Singgoh Pekan Budaya Marang 2019 itu, sekolah dari daerah Kuala Nerus itu memperlihatkan aksi hebat sekali gus menewaskan tujuh pasukan lain untuk muncul sebagai juara.

Selain juara, SMK Padang Kemunting turut memenangi tiga kategori Anugerah Khas iaitu Tukang Karut Terbaik, Awok-Awok Terbaik dan Skrip Terbaik.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.

Naib juara pula dimenangi SMK Paka dari daerah Dungun yang menerima hadiah RM2,000 dan sekolah ini juga memenangi kategori Anugerah Khas Tok Jogho Terbaik dan Pakaian Terbaik.

Manakala tempat ketiga pula menjadi milik SMK Putera, Besut yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 di mana sekolah itu turut memenangi Anugerah Khas bagi Pemuzik Terbaik.

Lima lagi kumpulan yang berjaya ke final dengan masing-masing menerima hadiah saguhati RM750 dan sekolah-sekolah itu ialah SMK Bukit Besar (Kuala Terengganu), SMK Bukit Sawa (Marang), Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (Hulu Terengganu), SMK Tengku Ibrahim (Setiu) dan SMK Bukit Mentok (Kemaman).

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak; Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohamad Nawawi Rani. - UTUSAN ONLINE