Perkara itu dinyatakan kakak mangsa Wan Suraya Wan Yahya, 32, selepas mayat adiknya itu ditemui kira-kira pukul 12.25 tengah hari ini.

Bagi mereka sekeluarga kesungguhan ibunya, Wan Yah Wan Yaakub, 52, untuk ke kawasan kejadian meskipun mengalami penyakit buah pinggang kronik bagaikan 'memujuk' anaknya timbul di permukaan sungai, empat hari selepas mayat suspek yang dikejarnya ditemui.

"Ibu sebenarnya tidak boleh duduk bagi tempoh yang lama, apatah lagi untuk perjalanan jauh. Namun, disebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sebelum ini masih tidak berhasil, ibu mengambil keputusan untuk datang juga ke lokasi pencarian adik di Kampung Durian Mentangau hari ini.

"Ibu bertolak selepas subuh dari Pasir Mas, Kelantan dengan menaiki ambulans yang disewa khas. Namun belum pun ibu sampai di lokasi, mayat adik akhirnya timbul," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini, hari ini.

Sebelum ini, arwah Wan Mohd Arif sering mengajak ibu ke Paka untuk melihat rumah dan tempat kerjanya, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana masalah kesihatan ibu, katanya.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, Wan Mohamad Arif bersama tiga lagi rakannya yang sedang mengejar suspek dikenali sebagai Zam Ayam di tebing sungai, tergelincir dan terjatuh ke Sungai Paka. Mayat suspek ditemui pukul 11.30 pagi Isnin lepas, 300 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, isteri anggota polis itu, Sharifah Murni Sayed Ab Aziz, 27, berkata beliau lega kerana jasad suaminya berjaya ditemui setelah menanti sejak lapan hari.

"Jasad arwah ditemui dalam keadaan sempurna tanpa cacat cela dan dua tangannya berada di atas perut seperti sedang menunaikan solat.

"Selepas disembahyangkan, jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Padang Embong di Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan," katanya yang tinggal di Kuala Terengganu kerana masih menuntut di Kolej Jururawat.- BERNAMA