Mereka antara 24 pasangan muda yang kemudiannya diraikan dalam majlis resepsi di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah di samping anggota keluarga serta sahabat handai.

Menurut Muhamad Firdaus, perkenalannya dengan isteri yang merupakan gadis normal bermula menerusi laman sosial, Instagram pada Oktober 2017 dengan ketika itu Siti Fatimah masih lagi menuntut di sebuah kolej di ibu negara sebelum menyuarakan hasrat untuk melamar anak kelahiran Terengganu itu tiga bulan kemudian.

Atlet tenis yang meraih pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA 2017 ini berkata, kehidupannya kini lebih bermakna dengan kehadiran suri hati sekali gus bakal menyuntik semangat dalam mengharungi saingan pada masa akan datang termasuk Kejohanan Terbuka di Turki pada Oktober tahun depan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat bertemu jodoh dengan pasangan yang memahami keadaan diri saya dan bersedia menerima saya seadanya.

"Saya lumpuh kedua-dua kaki akibat kemalangan motosikal ketika berusia 16 tahun hingga terpaksa terlantar selama tiga tahun di rumah dan ekoran rasa bosan saya mengambil keputusan menyertai sukan tenis berkerusi roda pada 2015," katanya ketika ditemui dalam majlis itu.

Siti Fatimah berkata, rasa cintanya terhadap Muhamad Firdaus tidak pernah berkurangan walaupun selepas mengetahui lelaki itu merupakan insan istimewa yang terpaksa bergerak dengan bantuan kerusi roda.

"Perkenalan kami singkat dan Alhamdulillah proses itu diharungi dengan mudah. Suami ada menceritakan keadaan dirinya sebelum kami berjumpa dan selepas pertemuan pertama hubungan itu tetap diteruskan.

"Pada Januari 2018, dia datang berjumpa ibu bapa saya menyatakan hasrat untuk berkahwin dan walaupun kami tidak mengadakan sebarang majlis merisik atau bertunang, saya bersyukur kerana perkahwinan ini direstui ahli keluarga kedua-dua belah pihak," katanya. - UTUSAN ONLINE