Imam surau tersebut, Syed Sharifuddin Syed Yahya berkata, Islam adalah agama keamanan dan kedamaian, maka sewajarnya semua pihak menghormati segala aspek tentangnya.

Menurutnya, apabila umat Islam dianiayai di beberapa negara kerana menjadi minoriti, maka atas perpaduan ummah sewajarnya nasib mereka dibela.

“Hari ini kita ingin menzahirkan rasa sedih dengan peristiwa pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand, baru-baru ini. Lebih menyedihkan rakyat kita turut terlibat.

“Kita berharap semua pihak menghormati umat Islam dan hak-hak mereka seperti yang terjadi di Semenanjung Gaza, masyarakat Uighur di China, Rohingya di Myanmar yang ditekan hingga menggugat nyawa mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil di surau berkenaan di sini, kelmarin.

Yang hadir sama ialah Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd. Ali Zakariah.

Sementara itu, Muhd. Ali memberitahu, pihaknya kesal kerana umat Islam di seluruh dunia gagal bersatu untuk memastikan nasib saudara-saudara mereka di Syria, Palestin dan negara-negara lain mendapat pembelaan.

“Maka hari ini saya bersama kariah di sini mendoakan kesejahteraan umat Islam yang tertindas agar segera bebas daripada penyeksaan dan pembunuhan anak-anak kecil di Palestin.

“Sempena Ramadan yang bakal menjelang, saya berharap gencatan senjata dapat dilaksanakan di Palestin supaya umat Islam boleh beribadah dengan tenang seperti di negara kita,” ujarnya.

Ahli-ahli kariah surau berkenaan turut berhimpun sambil mempamerkan keratan akhbar berhubung berita-berita serangan di Christchurch, Palestin dan penindasan masyarakat Islam di beberapa negara. - UTUSAN ONLINE