Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih belum membuat keputusan berkaitan kaedah pengangkutan awam yang bersesuaian sama ada transit aliran ringan (LRT), monorel atau pilihan lain.

Beliau diminta mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Emas Tulen Pulau Pinang (PSG) 2019, di sini hari ini.

PTMP adalah projek yang diusahakan kerajaan negeri membabitkan anggaran kos RM46 bilion dan mengandungi terowong bawah laut menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel di samping sistem pengangkutan bas yang meluas meliputi bahagian pulau serta tanah besar.

Terdahulu dalam ucapannya, Chow berkata, beliau percaya Pameran PSG dan pelbagai program yang diatur menyediakan platform yang baik untuk meneroka pasaran dagang emas tempatan dan antarabangsa yang baharu di samping mewujudkan hubungan dagang yang lebih akrab dengan perwakilan dari negara lain.

Beliau berkata, peningkatan jumlah perwakilan dari 17 negara yang menghadiri PSG 2019 amat memberangsangkan dan menjadi kayu pengukur sejauh mana mereka bersedia untuk berkembang dalam industri berkenaan.

“Tiada sebab untuk saya meragui bahawa setiap pihak akan terus bekerja keras untuk PSG kekal sebagai platform penyumberan tunggal bagi profesional dalam industri emas di Asia Tenggara.

“Saya percaya Pameran PSG akan terus berkembang dan membawa berita gembira serta positif pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pameran empat hari bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Elite Expo Sdn Bhd dan Province Wellesley Gold (amp) Silver Ornament Merchant Association yang bertujuan menghimpunkan pedagang tempatan dan antarabangsa dari seluruh dunia untuk bertukar pendapat tentang emas serta nilainya. - BERNAMA