Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mat Hassan berkata, keputusan tersebut diambil di­sebabkan ejen swasta yang dilantik menguruskan kutipan tempat letak kenderaan sebelum ini, gagal menjelaskan bayaran kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah tersebut melibatkan sebanyak lebih RM180,000.

“Sebelum ini, ejen swasta lain yang dilantik menguruskan tempat letak kenderaan juga gagal menjelaskan bayaran kepada MPK berjumlah lebih RM600,000.

“Kita dalam usaha untuk menuntut keseluruhan bayaran tersebut dan pada masa sama membuat keputusan agar MPK mengambil alih pengurusan tempat letak kenderaan.

“Kadar bayaran (tempat letak kenderaan) walau bagaimanapun kekal sama (seperti sebelum ini) dengan sebanyak 12 ejen jualan kupon telah dilantik,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pasukan peronda penguat kuasa bermotosikal MPK yang pertama semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MPK di pejabatnya di sini.

Yang turut hadir Yang Dipertua MPK, Khairin Nazry Karim.

Dalam pada itu, Mat berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada orang ramai berhubung pelaksanaan kupon berkenaan dan bersedia me­nerima sebarang cadangan untuk penambahbaikan.

Difahamkan, pada masa ini, sistem letak kenderaan berkupon itu hanya dilaksanakan di pusat bandar ini sahaja dan bakal dikembangkan ke Arau dan Padang Besar tidak lama lagi.

Terdahulu pasukan peronda penguat kuasa bermotosikal MPK yang diwujudkan adalah bertujuan bagi membantu melicinkan penguatkuasaan undang-undang di bawah tanggungjawab PBT itu.

Pasukan itu yang terdiri daripada empat motosikal akan menjalankan rondaan di pusat bandar ini bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 6 petang pada setiap hari kecuali Ahad.

Langkah tersebut diharap bukan sahaja mampu mendisiplinkan pengguna jalan raya khususnya soal meletak kenderaan di negeri ini malah meningkatkan pendapatan MPK.