Mana tidaknya, pada musim panas antara Disember hingga Mac itu, air di terusan sawah serta parit menjadi cetek sekali gus memudahkan penduduk menangkap ikan hanya menggunakan tangan.

Tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak, aktiviti tahunan di sekitar kampung itu memberi kepuasan dan kegembiraan kepada mereka.

Malah aktiviti tersebut juga menjadi rutin bagi penduduk kampung berkenaan yang tidak ketinggalan berkubang beramai-ramai menangkap ikan di kawasan terusan sawah.

Penduduk, Noor Diyana Khairuddin, 30, berkata, selalunya aktiviti menggagau ikan ini dilakukan selepas menuai padi iaitu musim angin Timur.

Katanya, pada masa itu, mereka akan berkubang beramai-ramai menangkap ikan yang ‘timbul’ antaranya seperti ikan keli, puyu, haruan dan sepat.

“Ikan sentiasa ada, walaupun kawasan itu kering dan hanya berselut. Kebanyakan ikan bersembunyi di lubang-lubang di terusan sawah atau parit itu.

“Beratus-ratus ekor ikan mudah ditangkap hanya dalam tempoh satu sehingga dua jam sahaja. Selain masak, ikan air tawar ini juga dijemur untuk dijadikan ikan kering,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Noor Diyana berkata, selain tangan, penduduk juga menggunakan penyauk atau raga untuk menangkap ikan tersebut.

“Namun, kita juga perlu berhati-hati bagi mengelak terkena sengat ikan keli,” katanya.

Sementara itu, Ismail Senapi, 64, pula berkata, dalam tempoh dua jam sahaja, dia berjaya memperoleh pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 100 kilogram (kg).

“Tahun ini, hasil ikan yang diperoleh lebih banyak berbanding pada tahun sebelum-sebelum ini. Hal ini kerana, musim ini pesawah tidak banyak menggunakan racun ketika mengusahakan padi,” katanya.