Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pihaknya sedang merangka pelan tindakan mewujudkan hab kreatif yang berpotensi disenaraikan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, tujuannya untuk membangunkan ekonomi kreatif di negeri ini dan merupakan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan bidang berkenaan di Johor. 

"Kita masih dalam peringkat awal menghasilkan pelan tindakan mengangkat sesuatu kawasan, daerah, bangunan atau warisan di negeri ini yang boleh dimasukkan dalam senarai UNESCO.   

"Kita juga sedang merancang dan melihat potensi-potensi yang ada serta apa juga ruang kerjasama yang kita boleh buat bersama-sama pihak UNESCO mengikut kesesuaian bagi 
membangunkan ekonomi kreatif di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sheikh Umar berkata demikian ketika mengulas mengenai lawatan kerjanya ke pejabat UNESCO rantau Asean di Jakarta, Indonesia petang semalam.

Beliau berkata, antara kawasan yang dilihat berpotensi untuk menjadi hab kreatif ialah di Johor Bahru, Ayer Hitam dan Parit Sulong yang masing-masing mempunyai bangunan lama untuk 
digunakan sebagai hab kreatif bagi penggiat industri.

"Hab kreatif itu tidak semestinya berpusat di satu kawasan. Ia boleh dibuat di bandar raya ini ataupun di daerah lain yang mampu menjana peluang ekonomi ke kawasan sekitarnya.

"Saya berharap pelan tindakan itu dapat disiapkan dalam bulan September atau Oktober ini iaitu sebelum sesi pembentangan bajet akan datang," katanya. - UTUSAN ONLINE