Mereka terdiri daripada Pe­ngakap Kanak-kanak (PKK), Pe­ngakap Muda (PM), Pengakap Remaja (PM) dan Pengakap Kelana termasuk siswazah institusi pe­ngajian tinggi yang 'berkampung' empat hari di kem berkenaan.

Pesuruhjaya Pengakap negeri, Datuk Lias Mohd. Noor berkata, perkhemahan itu merupakan kegiatan tahunan menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan ne­geri dan daerah bertujuan mengasah kemahiran khususnya dalam kalangan ahli PKK, PM serta PR.

“Perkhemahan ini selari de­ngan matlamat bidang kokurikulum di sekolah iaitu memupuk nilai disiplin diri, saling membantu, berdikari, persefahaman, jati diri dan elemen lain berasaskan undang-undang pengakap.

“Aktiviti ini juga untuk menguji kebolehan dan kemahiran ahli pengakap apabila peserta perkhemahan menempuh beberapa tahap ujian berasaskan Skim Latihan Pengakap bagi membolehkan mereka dianugerahkan lencana,” katanya ketika ditemui di kem itu baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Pegawai Pendidikan daerah, Nor Ahmad Abdul Rahim.

Menurut Lias, perkhemahan peringkat negeri adalah antara agenda pembangunan untuk mela­tih pelajar dalam kemahiran ilmu pengakap sehingga ke peringkat ujian tertinggi iaitu penarafan lencana Pengakap Raja.

“Kita juga menghantar peserta menyertai perkhemahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang ahli PKK dari Sekolah Kebangsaan Pos Sen­derut dekat sini, Achong Jimin, 12, mengakui berasa teruja kerana pertama kali menyertai perkhemahan itu dan seronok kera­na dapat mengenali peserta dari sekolah lain.

“Saya berpeluang bergaul dengan rakan pengakap daripada kaum lain dan sama-sama menyertai pertan­dingan yang mencabar,” katanya.