Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, skuad yang ditubuhkan sejak awal tahun itu juga perlu menjadi promoter kepada setiap program tahunan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Skuad ini akan bersama-sama dengan masyarakat dalam apa jua aktiviti keagamaan dan dalam masa sama memberi penerangan kepada mereka mengenai isu-isu semasa.

“Selain itu, Skuad An Nur juga perlu menjadi ‘pengutip’ isu-isu masyarakat yang kadang-kadang kita sendiri tidak dapat tahu, namun sentiasa diperkata dan dibualkan oleh masyarakat setempat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Skuad An Nur Wanita UMNO negeri dekat sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi, Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Norhayati Omar serta Pengerusi Skuad An Nur negeri, Nor Ashikin Abdul Hamid.

Menurut Mohamad, Skuad An Nur akan diuruskan oleh seorang ketua di setiap kawasan dalam menjalankan aktiviti bersama masyarakat di samping menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Skuad ini tidak semesti­nya terdiri daripada ahli UMNO. Masyarakat setempat boleh membentuk satu rantaian antara mereka sekali gus menjadi satu pasukan yang besar.

“Saya berharap skuad ini dapat digerakakn dengan baik sekali serta menjadi platform menambah nilai aktiviti berzanji, marhaban dan sebagainya di samping memperba­nyakkan lagi aktiviti Wanita UMNO di Negeri Sembilan,” ujarnya.