Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, sebanyak sembilan papan iklan luar haram telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Mac lalu.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan oleh MPB mendapati sebanyak 429 papan iklan luar telah didirikan tanpa kebenaran PBT berkenaan.

“MPN telah mengeluarkan sebanyak 456 notis dengan nilai kompoun sebanyak RM171,750 kepada semua pihak yang terlibat termasuk tuan tanah di mana struktur itu didirikan.

“Ia juga telah mengeluarkan sebanyak 235 Notis Roboh di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan merobohkan papan iklan haram akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sekiranya pengusaha struktur terlibat tidak mengendahkan notis yang dikemukakan oleh MPN.

Tegasnya, MPN berhak mengenakan kompaun terhadap individu atau syarikat yang melanggar Akta Undang-Undang Kecil (UUK) 6 (1), Undang-Undang Kecil Iklan MPN dan Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 setiap hari sehingga mereka patuhi undang-undang tersebut.

“Pemilik papan iklan luar perlu mengemukakan permohonan dan mendapatkan kelulusan bagi Binaan Paparan Iklan di Unit Pusat Sehenti (OSC) MPN sebelum permohonan lesen iklan.

“Para pemilik tanah juga diingatkan agar berhati-hati menyewakan tanah mereka kepada syarikat pengiklan agar tidak melanggar syarat nyata tanah,” katanya. - UTUSAN ONLINE