Pengerusi Persatuan Anak Jati Felda Palong 9, Tauw Fek Maslam berkata, mereka tampil melakukan kerja amal itu dan mengeluarkan wang sendiri bagi membeli peralatan semata-mata untuk berbakti kepada penduduk dan kawasan berkenaan.

“Sebelum ini apabila ada urusan pengkebumian pada waktu malam, tanah perkuburan ini gelap kerana tiga buah lampu yang ada telah lama tidak berfungsi kerana masalah kotak fius dan sebagainya.

“Penduduk terpaksa buat sambungan wayar elektrik dari kawasan terdekat untuk kebumikan jenazah di liang lahad sehingga ada yang terkena renjatan elektrik baru-baru ini.

“Ekoran itu timbul kesedaran anak-anak jati Felda ini termasuk yang tinggal di luar kawasan ini menginfakkan wang dan kemahiran bidang pendawaian elektrik dalam gotong-royong ini. Malah ada yang membantu membancuh simen dan lain-lain lagi,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau yang juga Ketua Penerangan Majlis Belia Felda (MBFM) Wilayah Raja Alias berkata, mereka bukan saja membaiki tiga lampu yang rosak malah memasang tiga lagi lampu di tanah perkuburan baharu di kawasan berkenaan.

“Dengan cara ini kita telah membuktikan anak-anak muda Felda mampu bermuafakat bagi memenuhi keperluan masyarakat tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan,” ujarnya.

Katanya, ia diharap dapat membuka mata anak-anak Felda supaya mengenal pasti masalah kemudahan dan penduduk di kawasan masing-masing seterusnya bekerjasama menyelesaikannya. - UTUSAN ONLINE