Selain bertujuan menyelesaikan masalah perkhidmatan bas di negeri ini, gesaan itu dibuat untuk melihat sistem pengangkutan awam di negeri ini diurus secara lebih cekap sekaligus mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian oleh orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia di Me­laka baru-baru ini mendapati masalah yang disuarakan rakyat itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

Kemelut itu diakui oleh syarikat pengendali perkhidmatan bas negeri iaitu Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka) yang menghadapi masalah kekurangan bas sehingga menjejaskan operasi di beberapa termasuk destinasi utama.

Kekurangan jumlah bas daripada keseluruhan 60 buah kepada hanya 17 buah sejak beberapa bulan lalu menjadi cabaran besar kepada syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Disebabkan masalah itu juga, tempoh menunggu bagi setiap trip yang sebelum ini mengambil masa 30 hingga sejam menjadi lebih lama sehingga mencecah tiga jam.

Keadaan itu bukan sahaja me­rumitkan perjalanan penduduk di kawasan bandar bahkan menjadi masalah bagi masyarakat di luar bandar.

Justeru, langkah proaktif perlu diambil oleh kerajaan negeri me­lalui Panorama Melaka untuk menambah bilangan bas atau membaik pulih bas sedia ada yang rosak untuk mengatasi masalah kekurangan bas yang kritikal di negeri ini.

Sekiranya tiada tindakan diambil, masalah ini akan menjadi lebih buruk malah bas sedia ada yang beroperasi juga dikhuatiri akan berhadapan masalah kerosakan disebabkan penggunaan melebihi tempoh sewajarnya bagi menampung kekurangan bas lain.

Sementara itu, Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd., Abu Bakar Jani berkata, pihaknya berdepan banyak aduan daripada pengguna berhubung masalah kekurangan dan kelewatan perkhidmatan bas sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, masalah itu tidak dinafikan menjejaskan operasi syarikat sehingga menyebabkan kelewatan dan pertambahan tempoh menunggu.

“Buat masa ini Panorama Melaka mempunyai 17 buah bas yang masih boleh beroperasi dengan baik di 19 laluan perkhidmatan berbanding 60 buah bas di 26 laluan sebelum ini.

“Antara laluan yang dikenal pasti berdepan kelewatan menunggu adalah Melaka Sentral-Tampin melalui Cheng dan Durian Tunggal, Melaka Sentral-Masjid Tanah dan Melaka Sentral-Ujong Pasir,” ujarnya.