Di negara ini, konsep pertanian bandar juga bukan sesuatu yang baharu malah dipraktikkan di pelbagai peringkat sama ada agensi kerajaan, pertubuhan, badan komuniti sehinggalah orang perseorangan.

Perbadanan Putrajaya (PPj) melalui Jabatan Landskap dan Taman merupakan antara pihak berkuasa tempatan yang giat dalam amalan pertanian bandar melalui program Kebun Komunitinya.

Inisiatif menyokong agenda tempatan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk menghasilkan sumber makanan dalam persekitaran setempat, menjana pendapatan dan sebagai medium interaksi sosial antara penduduk.

Bertitik tolak daripada program Bumi Hijau pada 2008, Kebun Komuniti 1 (KK1) yang terletak di Presint 9 merupakan antara kelompok yang aktif memanfaatkan peluang yang disediakan oleh PPj.

Menerima bimbingan secara intensif daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kebun yang diuruskan oleh ahli-ahli Koperasi Komuniti Penduduk Putrajaya Berhad (KKPPB) itu adalah contoh kejayaan amalan pertanian bandar.

Antara hasil tuaian utamanya adalah rock melon yang diusahakan menggunakan sistem fertigasi di dalam rumah hijau.

Ketua KK1, Baharuddin Daud berkata, buah rock melon yang kini masuk musim kutipan ke 13 merupakan buah ikon bagi projek pertanian bandar di Putrajaya.

“Rumah hijau di Taman Rimba Desa KK1 ini berupaya menempatkan 500 pokok yang mampu menghasilkan kira-kira 1,000 biji rock melon.

“Kaedah penanaman dan penjagaan dipermudahkan dengan teknologi fertigasi yang membolehkan proses membaja dan menyiram dilakukan secara automatik,” kata kepada Utusan Malaysia.

Menariknya menurut Baharuddin, buah-buah yang dikutip akan dijual kepada penduduk pada harga yang lebih rendah kepada penduduk khususnya dalam kalangan ahli KKPPB di Presint 9.

“Jualan ladang yang diadakan di pekarangan KK1 biasa­nya akan diwar-warkan melalui kumpulan Whatapps ahli.

“Konsepnya petik, timbang dan bayar. Harga yang ditawarkan juga lebih murah daripada harga pasaran, kira-kira RM6.50 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Aktivis Pertanian Bandar yang juga ahli KK1, Mohamad Azimi Kassim berkata, kebun KK1 seluas 2.48hektar itu memberi peluang kepada ahli komuniti bercucuk tanam dan mempelajari pelbagai ilmu pertanian.

Kesempatan itu secara tidak langsung menyediakan pendekatan yang praktikal dalam mengurangkan kos perbelanjaan harian khususnya dalam kalangan ahli KK1 di samping mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Kami bermula dengan 30 orang ahli tapi sekarang tinggal lebih kurang 15 orang kerana komitmen masing-masing.

“Kebanyakan daripada mereka yang mencurahkan keringat di sini adalah golongan pesara kerajaan,’’ katanya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ngah berkata, KK1 dibangunkan dengan konsep tiga dalam satu iaitu taman, rimba dan desa yang menghidupkan suasana desa di tengah-tengah bandar lestari.

Selain sistem fertigasi di rumah hijau, KK1 turut me­nempatkan kebun dapur atau kitchen garden iaitu kaedah tanaman konvensional bagi tanaman seperti kacang bendi, cili, pandan, terung, timun, jagung, nenas, kangkung dan bayam.

Selain itu KK1 turut mengusahakan ladang ternakan kelulut yang mana hasilnya telah beberapa kali dituai dan dijual kepada penduduk.