Bagi warga Kuala Lumpur, kewujudan Pasar Karat Petaling Street yang beroperasi setiap hari menjanjikan seribu satu peluang untuk mendapatkan sesuatu yang jarang dapat dicari di pasar raya.

Lorong yang suatu ketika dahulu dicop sebagai ‘lorong gelap’ kerana menjadi tempat penjualan barang curi itu sudah banyak berubah bahkan semakin popular dalam pelancong.

Terlindung di antara Jalan Petaling dengan Jalan Sultan, aktiviti jualan di lorong sempit sepanjang kira-kira 200 meter itu bermula seawal pukul 4 pagi dan mula reda sekitar pukul 9 pagi.

Keunikan lorong yang sesak dengan manusia pelbagai ‘karakter’ ini bukan hanya terletak pada koleksi antik atau edisi istimewa semata-mata bahkan turut memperagakan barang kegunaan harian seperti telefon, perkakasan elektrik, jam tangan, kamera, kasut, buku sehinggalah alat pertukangan.

Waktu terbaik untuk menjamu mata dan membuat pilihan adalah sekitar pukul 6 hingga 8 pagi ketika pengunjung masih belum padat. Walaupun beroperasi setiap hari, kunjungan berbaloi adalah pada hujung minggu yang disertai oleh lebih ramai penjaja.

Bagaimanapun untuk melangkah masuk ke kawasan itu pada awal pagi, pengunjung dinasihatkan berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penyeluk saku. Selain daripada itu, semuanya selamat dan anda bebas untuk tawar-menawar.

Keputusan pihak berkuasa tempatan memberikan lesen sementara kepada peniaga ternyata berjaya menjadikan kawasan yang suatu ketika dahulu dijauhi orang ramai kembali meriah.