HALIM ISHAK

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu dan menganggap perkara tersebut sesuatu yang serius serta perlu diberi perhatian segera.

Sehubungan itu, beliau mengesa agar kerajaan memberi penambahbaikan melalui peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan Negara 2020 khusus kepada pasukan keselamatan negara.

“Cadangan yang dibangkitkan ini memang wajar untuk menjaga keselamatan dan kebajikan anggota polis terutama mereka yang bekerja di lapangan yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan, bencana, penyakit dan kematian.

“Dengan penubuhan sebuah unit khas seperti KKP ini, bukan sahaja lebih terbela tetapi, mampu mengurangkan peningkatan jumlah kematian, kecederaan yang semakin meningkat saban tahun.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye yang menggesa PDRM menubuhkan unit khas tersebut berikutan statistik PDRM menunjukkan secara purata sekurang-kurangnya 32 pegawai dan anggota polis meninggal dunia setiap bulan ketika bertugas.

Mengulas lanjut, Halim turut menyarankan agar unit Badan Kebajikan dan Kaunseling (Baka) PDRM diperbesarkan menjadi satu jabatan seperti Kor Agama Tentera (Kagat) dalam menangani masalah dalaman serta kebajikan PDRM.

“Ini penting kerana sebagai penjawat awam, PDRM juga tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai masalah anggotanya dan perkara ini perlu diambil berat terutamanya peranan yang mereka mainkan bukan sahaja untuk menjaga kesejahteraan rakyat malah, melibatkan pemantauan dan pencegahan jenayah warga asing yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE