Penduduk yang berang dengan keadaan itu mendakwa, mereka seolah-olah dianaktirikan berikutan perumahan teres berhadapan perumahan bertingkat itu menerima bekalan air melalui sebuah lori tangki air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) setiap 30 minit.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Leo, 50, berkata, sejak isu pemotongan air yang dilaporkan Utusan Malaysia Februari lalu di rumah kedai itu, mereka tidak lagi menikmati bekalan air secukupnya.

"Kami terkilan dan kecewa apabila hanya dapat melihat lori bekalan air keluar masuk ke kawasan perumahan teres sedangkan penduduk di sini menunggu lama, hampir seharian dengan membawa baldi, bekas-bekas air, botol untuk menadah air," katanya.

Leo memberitahu Utusan Malaysia, penduduk ada menerima bekalan air dari pukul 10 pagi hingga 4 petang pada Isnin lalu namun ‘terputus’ daripada bantuan bekalan air selepas itu.

Katanya, walaupun sengsara beberapa hari kerana tidak menerima bekalan air, mereka bersyukur apabila bekalan air mula pulih pada petang ini dan berharap ia tidak akan terputus lagi kerana penduduk cukup terbeban dengan masalah itu.

"Kami berharap pihak Syabas dapat berlaku adil dalam pengagihan air kepada semua penduduk dan jangan hanya kerana ada orang kenamaan di suatu kawasan, Syabas menyediakan air kepada mereka sahaja. - UTUSAN ONLINE