Jelas Dominic, langkah itu perlu dilakukan agar syarikat akhbar berusia 80 tahun itu dapat beroperasi dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Utusan merupakan sebuah syarikat media cetak yang telah beroperasi berpuluh tahun lamanya dan keunggulannya tiada tandingan dengan media lain.

“Perkhabaran bahawa operasinya akan dihentikan mengejutkan ramai pihak kerana Utusan adalah satu-satu syarikat media yang menyediakan peluang kerja di kalangan orang Melayu serta memperjuang hak dan bangsa rakyat dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau amat mengagumi kegigihan Utusan memperkasakan bangsa namun operasi syarikat tersebut hampir ditutup kerana ketiadaan dana.

“Biarpun alami masalah kewangan yang kritikal semangat juang pekerja dan rakan-rakan media di dalam Utusan amat saya kagumi.

“Sebagai rakyat yang berbilang kaum dalam negara ini, kita seharusnya mengambil langkah menyokong mereka (Utusan) dengan membeli naskhah dan melanggan portal atas talian sekaligus membolehkan pengoperasiannya lebih mendapat sambutan berbanding sebelum ini,” katanya.

Dominic menambah, beliau berharap agar Utusan terus beroperasi dengan baik biar pun mengalami masalah pengurusan dan ketirisan kewangan.

“Gerakan percaya ramai orang Melayu dan masyarakat di luar sana akan terus bantu bangunkan semula Utusan.

“Utusan perlu dibantu kerana mereka terdiri daripada Melayu yang juga anak jati Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE