Prasarana dalam kenyataan di sini hari ini berkata, video itu adalah sebagai bukti keprihatinan pihaknya terhadap cabaran yang dihadapi golongan autisme yang selari dengan visi ‘Connectivity and Mobility for All’.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, penerbitan video berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat dan susulan kepada video ‘Chopstick’ yang dikeluarkan bersempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.

“Tujuan penerbitan video-video khas ini adalah sebagai strategi memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan awam yang didokong oleh Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya.

“Ini sekali gus menjadi tarikan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan sistem pengangkutan awam selaras dengan aspirasi Kerajaan. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mempromosikan jenama Kumpulan Prasarana dan visi syarikat iaitu ‘Connectivity and Mobility for All’,” katanya.

Menurutnya, video berjudul ‘Songkok’ itu berkisar tentang seorang anak muda autisme bernama Yusof yang kehilangan ibu-bapa dalam satu kemalangan jalan raya sehingga terpaksa dijaga oleh kakaknya.

“Dilakonkan oleh artis terkenal, Risteena Munim, si kakak menghadapi pelbagai dugaan dalam menangani tabiat Yusof, lakonan Izzy Zulkhazreef Zulkefli yang amat obses dengan songkoknya,” katanya.

Katanya lagi, Songkok memaparkan mesej yang lebih mendalam mengenai cabaran kehidupan dihadapi oleh golongan autisme yang juga merupakan antara pengguna setia perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Kumpulan Prasarana.

“Kami berharap kisah Yusof yang dibesarkan oleh kakaknya akan membuka mata dan minda masyarakat khususnya apabila berinteraksi dengan anak-anak autisme dan golongan istimewa ketika menggunakan pengangkutan awam,” - UTUSAN ONLINE