Menurut laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, FGV dilaporkan akan mengurangkan sehingga 6,000 kakitangan sebagai sebahagian rancangan pemulihan selepas ia merekodkan kerugian RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Kerugian itu merupakan yang terburuk dicatatkan FGV sejak disenaraikan pada 2012, berikutan rosot nilai besar dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah.

Sumber berkata, pemberhentian itu dijangka membabitkan sebahagian 20,000 kakitangan di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur serta beberapa pejabat serantau.

Menurutnya, proses pemberhentian sedang dijalankan dengan seramai 667 kakitangan menerima Skim Pemisahan Mandatori FGV pada 2018. Skim itu membabitkan bayaran berjumlah RM72 juta dan penjimatan tahunan RM25 juta. -UTUSAN ONLINE