Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tidak hanya memberikan penekanan kepada lif sebaliknya aspek-aspek lain seperti pendawaian elektrik juga perlu diberikan perhatian memandangkan kebanyakan PPR telah lama dibina dan ada yang usianya melebihi 20 tahun.

“Reach mengalu-alukan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa bagi mencari mekanisme untuk mengurangkan insiden melibatkan lif di negara ini.

“Namun begitu, kami berharap pihak kementerian tidak hanya memberi penekanan kepada lif tetapi kepada aspek-aspek lain terutamanya di PPR yang kebanyakannya telah lama dibina dan ada yang usianya melebihi 20 tahun. Oleh itu, satu pemeriksaan yang terperinci perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan ianya masih selamat didiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, lapan penduduk cedera apabila lif yang dinaiki mereka terhempas dari tingkat lima dalam kejadian di PPR Kerinchi di sini.

Sementara itu, Iskandar menjelaskan, lif memang merupakan aspek utama yang perlu diberi perhatian namun terdapat aspek-aspek lain yang juga perlu diambil berat antaranya mengenai pendawaian elektrik dan tembok batu serta ‘railings’ yang tidak lagi kukuh.

“Pendawaian elektrik yang usang boleh mengakibatkan litar pintas dan kebakaran, sebarang kebakaran di PPR 17 tingkat boleh menyebabkan bukan sahaja kerugian harta benda tetapi kehilangan nyawa. Oleh itu, ia perlu diperiksa untuk menentukan sama ada ia masih selamat atau tidak.

“Tembok dan ‘railings’ terutamanya di koridor mestilah disahkan masih kukuh. Tembok yang telah usang boleh runtuh bila-bila masa manakala ‘railings’ yang teruk berkarat boleh tertanggal, aa amat merbahaya kepada sesiapa yang bersandar kepada tembok atau ‘railings’ tersebut terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, kepingan penutup bumbung seperti genting konkrit dan kepingan logam yang reput dan pecah juga mestilah diberikan perhatian di setiap PPR.

“Kepingan penutup bumbung yang reput, pecah atau usang ini boleh mengakibatkan kebocoran ketika hujan. Air yang memasuki kediaman mungkin tidak merbahaya tetapi ia boleh menyebabkan litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran atau boleh mengalirkan arus elektrik yang menjadi punca kepada renjatan elektrik.

“Selain itu, kepingan bumbung yang jatuh dari atas atau diterbangkan angin boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian jika mengenai penduduk. Kos menukar bumbung adalah tinggi tetapi ia satu keperluan jika dapat meningkatkan keselesaan penduduk dan mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa,” katanya.- UTUSAN ONLINE.