TANGKAP layar berita berhubung rayuan Ismail Abdul Rahman kepada polis dan SKMM agar menyiasat fitnah dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang disiarkan dalam Utusan Online pada 3 Novermber lalu. - UTUSAN ONLINE

Beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Ismail Holdings Sdn. Bhd. berkata, sebelum ini, fitnah mengenai syarikatnya memonopoli pengambilan pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini oleh pihak tidak bertanggungjawab yang pernah berlaku empat tahun lalu telah selesai menerusi tindakan mahkamah.

“Tindakan perundangan telah diambil apabila fitnah itu mula tersebar pada 2015.

“Dalam kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, penghakiman telah memihak kepada saya dan pihak defendan diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka,” katanya di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya, fitnah sama termasuk gambar-gambar keluarganya mula disebarkan kembali dalam Facebook sejak akhir-akhir ini.

Menurut Ismail, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengganggu emosi dirinya, isteri dan anak-anak, malahan menjejaskan peluang dan kemajuan perniagaannya.

Katanya, beliau telah membuat aduan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan jahat berkenaan.

Namun dakwanya, beliau kesal apabila dimaklumkan oleh SKMM yang tindakan sukar diambil terhadap si pelaku terbabit berikutan akaun media sosial yang digunakan adalah palsu.

“Mereka (SKMM) tiada akses untuk mengesan pihak yang menyebarkan fitnah tersebut berikutan akaun Facebook yang digunakan adalah palsu.

“Saya pun pelik, kita ada akta tapi tidak boleh digunakan sebab tiada maklumat untuk tindakan lanjut pihak berkuasa. Jadi, apa guna ada undang-undang kalau rakyat tidak boleh dilindungi?” tegasnya.

Dalam kes berkenaan ujarnya, beliau percaya SKMM boleh meminta bantuan kementerian atau agensi kerajaan lain bagi menjalankan siasatan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) pun tahu siapa atau syarikat mana yang memonopoli kerja-kerja membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

“Saya gesa kerajaan mendedahkan nama syarikat-syarikat terbabit kepada umum sekali gus dapat membersihkan nama baik saya yang tercalar sejak sekian lama,” katanya. - UTUSAN ONLINE