Pelanggaran syarat itu termasuk mereka yang menyewakan kediaman kepada pihak ketiga terutama warga asing dan mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, terma­suk sewa dan beli hartanah ataupun melalui media sosial.

Tindakan ini kata Menteri KPKT Zuraida Kamarudin perlu kerana syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR tertera klausa yang menetapkan bahawa penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh ataupun sebahagian dari kediaman.

Beliau turut memperincikan bahawa bagi pihak yang sudah melanggar syarat yang ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan akan diberikan.

Di dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula, secara jelas terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli dan Surat Akuan Bersum-pah, bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.

Sekiranya didapati bersalah, mereka yang melanggar syarat ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Syarat-syarat itu jelas dan tentu sekali difahami penyewa dan pemilik PPR.

Namun disebabkan sikap mementingkan diri dan mahu mengaut keuntungan berganda, mereka buat-buat tidak faham dan seolah-olah lupa.

Perbuatan mereka menyalahgunakan PPR bukan sebulan dua, sebaliknya bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.

Bagi penulis memberi a­maran keras tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya aspek penguatkuasaan masih lemah.

Disebabkan kelemahan penguatkuasaan, golongan sasar yang benar-benar memerlukan tempat tinggal terus menjadi mangsa.

Maka penglibatan KPKT secara menyeluruh, tegas dan pantas perlu menangani isu penyalahgunaan PPR ini.