Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagaimana telah dijelaskan oleh Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pihak kerajaan negeri tidak ada maklumat mengenai perceraian mahupun pernikahan baginda dan memilih sikap untuk tidak campur tangan.

 Beliau berkata, hanya Pejabat Istana Kelantan yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Sultan Kelantan dan perkara berkaitan keluarga diraja.

 "Saya sama seperti apa yang disebut Timbalan saya (Mohd Amar), itulah sikap kita, setakat ini kita tidak dapat maklumat, itu biasanya melalui Pejabat Sultan, saya Pejabat Menteri Besar, (kami) lain," katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan Wahdah Temasek hasil wakaf masyarakat Singapura bernilai RM 1.5 juta di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini hari ini.

 Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kias, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin dan Pengarah Urusan Pusat Kursus Pengajian Al Quran Wal Qiraat ZAG yang juga wakil pewakaf dari Singapura, Zainab Abdul Ghani.

 Semalam, Mohd Amar dilaporkan berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak ada maklumat rasmi mengenai isu pernikahan dan perceraian Sultan Muhammad V dan pada masa sama tidak berhasrat bertanya Istana Kelantan mengenainya. 

 Mohd Amar berkata, beliau hairan isu tersebut dijadikan tajuk muka hadapan dan laporan utama sebuah akhbar berbahasa Inggeris serta bimbang wujud agenda tersembunyi kerana menurutnys soal nikah cerai adalah perkara lumrah dalam kehidupan. - UTUSAN ONLINE