Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata, koperasi sekolah perlu tampil dengan sudut berbeza dan tidak hanya menjalankan aktiviti stereotaip seperti menjual alat tulis sahaja.

Beliau berkata, sektor koperasi yang sering dilihat hanya bertaraf ‘kekampungan’ sebenarnya memainkan peranan penting kepada asas ekonomi negara.

"Sekarang ini menjadi trend kebanyakkan koperasi sekolah mewujudkan kiosk dan ini adalah satu perkembangan yang lebih baik.

"Kita mahu benda ini berkembang terus menerus kerana pendedahan mengenai koperasi ini adalah bermula dari sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Sekolah & Projek Kelulut Wakafians 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Wakaf Bharu, Mohd. Azmi Awang.

Dalam pada itu, Nordin berkata, sehingga kini, koperasi telah mempunyai seramai 6.5 juta ahli daripada 14,247 buah koperasi di seluruh negara.

"Selepas ini, kita tidak hanya mahu menambah ahli koperasi sahaja tetapi kita mahu semua aspek dipertingkatkan termasuk pencapaian serta perolehan.

"Kita mahu satu transformasi yang berskala dan berstruktur kerana kita tidak mahu orang memandang rendah terhadap koperasi," katanya. - UTUSAN ONLINE