Dia sebaliknya berdikari dengan berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan sehariannya tanpa perlu hanya mengharapkan simpati orang lain.

Sambil berkerusi roda, Muhammad Azamirudin Ismail, 25, menjual pelbagai jenis kasut untuk dewasa dan kanak-kanak di pasar-pasar malam dan pasar-pasar tani di sekitar Bandar Puteri Jaya di sini.

Katanya, selain kasut, pada waktu tertentu, dia juga menjual pelbagai jenis ikan hiasan di kawasan sama.

Katanya lagi, segala yang dilakukan itu adalah hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini yang memberikannya Geran Pelancaran 2 Years Exit Programmes (GP2YEP), baru-baru ini.

“Syukurlah kerana pihak JKM memberi bantuan kepada saya wang tunai sebanyak RM2,700 sebagai suntikan modal perniagaan untuk hidup berdikari.

“Saya ingin buktikan bahawa orang cacat pun boleh berjaya dalam bidang perniagaan ini jika mempunyai semangat ingin berjaya,” katanya ketika ditemui semalam.

GP2YEP adalah program untuk menggalakkan penerima bantuan bulanan JKM supaya berdikari tanpa bergantung secara berterusan daripada agensi itu.

Menceritakan pengalamannya, menurut Muhammad Azamirudin, dia bersyukur kerana masyarakat tidak menyisihkan peniaga sepertinya sebaliknya akan memberikan sokongan dengan membeli barang jualannya.

Tambahnya, ibunya, Hodijah Bakar, 45, sentiasa membantu dan memberi sokongan terhadap perniagaannya.

“Saya tidak pernah bersekolah tetapi selalu pergi ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuala Muda kelolaan JKM sejak berusia lapan tahun,” katanya lagi.

Tambahnya, menerusi program GP2YEP ini, para peserta akan dipantau setiap bulan oleh pegawai JKM daripada pelbagai segi seperti hasil keuntungan dan jualan. - UTUSAN ONLINE