Telur pindang sinonim dan cukup digemari rakyat negeri ini kerana rasa yang enak walaupun agak berbau.

Telur pindang lazimnya mendapat permintaan tinggi ketika musim cuti sekolah memandang­kan banyak majlis kahwin berlangsung.

Di negeri ini, antara pengeluar telur pindang terkenal ialah Telur Pindang Warisan Asli Johor yang diusahakan pasangan suami isteri, Abd. Hadi Omar, 63, dan Habibah Abdullah, 60.

Mereka mengusahakannya di Jalan Permatang 7, Kempas di sini sejak 10 tahun lalu dan kini produk Telur Pindang Warisan Asli Johor semakin dikenali.

Pada mulanya perniagaan mereka hanya dikenali dalam kalangan rakan tetapi keenakan hasil tangan suami isteri itu dalam pembikinan telur pindang menjadi bualan ramai hingga tular dalam media sosial tidak lama dahulu.

Menurut Abd. Hadi, kelazatan telur pindang yang berbaukan herba dan warnanya coklat kehitaman menjadikan produk Telur Pindang Warisan Asli Johor lain daripada lain.

“Sebenarnya resipi itu asalnya daripada warisan keluarga dan ada sedikit penambahbaikkan saya lakukan untuk mendapatkan rasa lebih lazat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Antara ramuan digunakan suami isteri itu adalah enam jenis daun, antaranya daun salam, daun serai, daun lengkuas, daun jambu batu dan daun senduduk yang diperoleh di pinggir hutan dan kawasan sekitar.

Bagi memastikan rempah ratus benar-benar serap dalam telur pindang, Abd. Hadi memberitahu dia memastikan telur pindang direbus selama tiga hari, tiga malam dengan api yang kecil.

“Untuk mendapatkan telur pindang yang berasa, rempah-rempah yang digunakan juga perlu secukup yang mungkin dan jika lokek rempah, rasanya akan menjadi tawar serta tidak sedap.

Jelasnya, penyediaan yang rumit untuk menghasilkan telur pindang menyebabkan ramai yang tidak berminat mengusahakan perniagaan berkenaan.

Telur Pindang Warisan Asli Johor, katanya, sentiasa menjaga kualiti produknya termasuk rasa supaya pelanggan sentiasa berpuas hati.