Selain SM Pei Chun turut mengambil bahagian ialah SM Chong Hwa (Rengit), SM Foon Yew (Johor Bahru), SM Foon Yew (Kulai), SM Pei Hwa (Muar), SM Yong Peng, SM Cina Batu Pahat, SM Chong Hwa (Kluang), Sekolah Antarabangsa Sunway Johor Bahru dan SM Islam Hidayah (Johor Bahru).

Program tiga hari dua malam itu dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan SM Pei Chun Pontian.

Ketua Jabatan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Padilah Ali berkata, peranan DBP bukan sahaja untuk mengembangkan bahasa dan sastera tetapi menjadikan bahasa sebagai bahasa budaya termasuk menerusi program itu.

Katanya, jalinan kerjasama seperti diharap dapat mendekatkan pelajar bukan Melayu khususnya kaum Cina untuk memahami adat dan budaya masyarakat Melayu negara ini.

Katanya, penyertaan pelajar Sekolah Antarabangsa Sunway dan SM Islam Hidayah menambah keberkesanan program itu melalui interaksi dalam kala­ngan peserta yang mengambil bahagian.

“Kami membawa pakar dalam bidang bahasa dan budaya perkahwinan Melayu, pengenalan pakaian tradisional dalam bidang tarian supaya peserta mendapat pendedahan yang secukupnya.

“Mereka termasuk Prof. Madya Datuk Dr. Mohd, Rosli Saludin, Datin Siti Hajar Raihan, Pengiran Khairul Qay­yum Awang Omar, Mohd. Yunus Ismail dan Dayang Norinah Daty Gastan,” katanya dalam majlis penutupan kem tersebut di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San dan Pengetua SM Pei Chun Pontian, Ong Chan Boon.

Padilah berkata, penganjuran kem itu dapat menyatukan lagi perpaduan antara kaum dalam usia remaja memandangkan mereka juga menjadi pemimpin satu masa nanti.

“Program ini diperluaskan kepada pelajar dalam kala­ngan kaum India mahupun suku kaum di Sabah dan Sarawak supaya mereka juga dapat mempelajari dan memahami budaya orang Melayu,” katanya.

Menurutnya, peserta juga cepat mempelajari apa-apa perkara yang disampaikan oleh fasilitator walaupun dalam masa singkat kerana minat mereka ingin mengetahui adat dan budaya masyarakat Melayu.