Seorang aktivis masyarakat dan peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz hari ini menggerakkan usaha mengumpul maklumat berkenaan keadaan di sini dengan menggunakan dron selain turut mengambil sampel air di Sungai Kim-Kim dan sungai sekitar untuk dianalisis.

Menurutnya, beliau akan berada di sini selama dua hari bermula hari ini untuk menjalankan kajian itu dan pada masa sama mengadakan perjumpaan dengan mangsa insiden Pasir Gudang dan Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA).

“Saya akan ikut mana prosedur operasi standard (SOP) seperti mana yang saya tahu untuk memantau keadaan sekeliling Pasir Gudang ini, kita akan menggerakkan dron untuk meninjau keadaan di sekitar sini termasuk Sungai Kim Kim, sungai sekitarnya dan kilang-kilang haram.

“Sampel yang diambil daripada sungai itu akan dihantar ke makmal swasta untuk dianalisis sebelum hasilnya kita keluarkan dijangka dalam tempoh sebulan dan kita juga akan mengadakan sidang media mengenainya selepas ini,” katanya selepas perjumpaan dengan BBPIPA di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri supaya menyediakan saluran rasmi berpusat bagi memudahkan penduduk Pasir Gudang merujuk pelbagai perkara berhubung kejadian sesak nafas dan muntah-muntah dipercayai akibat pencemaran di kawasan berkenaan.

Tambahnya, ketiadaan saluran rasmi seumpama itu menyebabkan penduduk atau mangsa yang terjejas susah untuk mendapat maklumat tepat sekali gus menyukarkan insiden tersebut diselesaikan secara bersama dengan baik. - UTUSAN ONLINE