Menegaskan bahawa penduduk di kawasan itu tidak bodoh, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), Muhammad Fauzi Rohani, 54, menggesa kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab mengurus tadbir negeri dan rakyat supaya berjumpa serta berbincang dengan mereka.

“Sebelum ini ada kata kejadian itu disebabkan susu, sekarang sebab burung merpati pula, saya rasa lebih baik mereka melakukan kajian mendalam sebelum membuat sebarang kesimpulan, mereka ada ramai pakar dalam pelbagai bidang, kajilah dulu betul-betul.

“Pada masa sama, ajaklah kami berbincang, kami ini pun tidaklah bodoh sangat, saya pun orang industri dulu, tahulah sikit-sikit, pandai itu tidaklah tapi tahulah serba sedikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Pasir Putih di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar hari ini berkata, mereka tidak menolak kemungkinan najis dan hama burung merpati menjadi faktor murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort mengalami simptom sesak nafas dan muntah berterusan.

Mohd. Khuzzan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan sebelum itu mengadakan tinjauan di sekolah tersebut dan mendapati tingkat atas SK Tanjung Puteri Resort itu dicemari najis burung merpati.

Muhammad Fauzi berkata, mangsa kejadian itu amat kecewa dengan tindakan diambil kerajaan Pusat mahu pun kerajaan negeri sehingga mereka terpaksa meluahkan masalah menerusi forum yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, sehingga ke hari ini juga, mangsa masih tidak jelas tindakan atau langkah yang diambil pihak-pihak berkenaan dalam menangani isu di Pasir Gudang.

“Jadi, sekurang-kurangnya berjumpa dengan kita, kita nak ajak bincang dan beri maklum balas supaya diambil tindakan. Kita pun tidak mahu sampai perlu pergi berkumpul ke pejabat kerajaan dan sebagainya, kita tidak mahu sampai ke tahap itu, jadi jumpa dan berbincang dengan kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE