Pengurus Komunikasi yayasan itu, Riza Alwi berkata, buat permulaan, mereka menganjurkan Hari Terbuka di pusat Yayasan OrphanCare di Taman Sentosa di sini yang dihadiri pelbagai pihak termasuk daripada agensi kerajaan baru-baru ini.

Menurutnya, program tersebut juga diadakan bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan yang dijalankan yayasan berkenaan seperti perkhidmatan proses pengambilan anak angkat dan memberi perlindungan bayi yang tidak sah taraf.

Tambahnya, semua perkhidmatan dijalankan yayasan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Kita menyeru kepada semua pihak dan orang awam yang terjumpa bayi yang ditinggalkan, boleh diserahkan kepada Yayasan OrphanCare untuk tindakan lanjut sehingga proses mendapatkan keluarga baharu kepada bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, yayasan itu telah menyelamatkan seramai 369 bayi di mana 221 bayi sudah ditempatkan dengan keluarga angkat dan pada masa sama, mereka turut membantu seramai 43 kanak-kanak kembali kepada keluarga asal mereka.

Dalam pada itu, Riza memberitahu, Hati Terbuka Yayasan OrphanCare itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, Datin Dr. Nila Armila Mukdan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung dan Pengerusi Yayasan OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir.


Isteri Menteri Besar, Datin Dr. Nila Armila Mukdan (kanan) mendengar penerangan daripada pekerja Yayasan OrphanCare pada hari terbuka yayasan itu di Taman Sentosa, Johor Bahru, baru-baru ini.

Riza berkata, Dr. Nila turut menzahirkan harapan supaya yayasan tersebut dapat meneruskan usaha dalam mewujudkan kesedaran lebih tinggi terhadap kes pembuangan bayi selain mengadakan kempen kesedaran bahaya seks di kalangan remaja dan kesedaran mengenai impak negatif terhadap kanak-kanak yang membesar di institusi dan rumah anak yatim.

Selain Dr. Nila, tambahnya, Cai Tung turut sama meluahka rasa kebimbangan dengan statistik pembuangan bayi yang semakin meningkat. - UTUSAN ONLINE.